Tuesday, June 2, 2009

RAKYAK ATAU POLITIK - mana didahulukan

Hari Ahad ini, genap satu bulan Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Beliau mengangkat sumpah jawatan pada 3 April 2009. Najib telah memperkenalkan slogan "Satu Malaysia. Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan."Sekarang sudah ada suara-suara yang mula bertanya apakah yang dapat rakyat hidu, lihat dan sentuh. "Rakyat didahulukan.

Pencapaian diutamakan." adalah baik. Bagaimanapun, rakyat ingin melihat dan merasai impaknya.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mula-mula menjadi Perdana Menteri dulu, beliau telah memperkenalkan beberapa inisiatif yang walaupun nampak mudah, tetapi boleh dilihat dan dirasai oleh rakyat.

Biar saya sebutkan beberapa inisiatif itu.Mahathir memperkenalkan tanda nama (name tag) untuk pegawai kerajaan. Tujuannya mudah. Apabila berurusan dengan mereka, orang awam tahu nama pegawai itu. Sekiranya nak buat aduan, sebutkan nama pegawai tersebut. Mahathir sebagai Perdana Menteri juga memakai tanda nama itu.Beliau juga memperkenalkan kad perakam waktu.

Sekali lagi, Mahathir menyampaikan mesej bahawa pegawai kerajaan hendaklah tidak curi tulang dan bekerja pada waktu pejabat. Ini adalah mesej yang jelas bahawa beliau inginkan pegawai kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Mahathir juga menyamakan waktu antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak. Ketika itu, waktu Sabah dan Sarawak cepat 30 minit berbanding Semenanjung. Ini menyukarkan urusan dalam negara.

Langkah Mahathir ini diikuti oleh Brunei.Inilah contoh beberapa inisiatif Mahathir yang mungkin kelihatan mudah, namun dapat dirasai oleh rakyat.Najib bercakap mengenai rakyat didahulukan. Itu adalah satu niat yang baik.

Persoalannya ialah bagaimanakah ini dapat direalisasikan? Apakah inisiatif yang boleh dilihat dan dirasai rakyat?Adakah rakyat didahulukan bermaksud kita menerima apa yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Dato' M Saravanan yang dikatakan berjaya "menangkap" dua orang doktor "culas" di Hospital Kuala Lumpur?Maaf, saya tidak dapat menerima itu sebagai satu pendekatan yang betul.Sebagai orang politik, Saravanan inginkan "political mileage". Sebab itulah dia membuat kenyataan mengenai "tangkapan" itu kepada media massa.

Sebagai rakyat, saya menolak pendekatan sedemikian. Saya ingin mengingatkan Saravanan agar usah menjadi hero. Saya percaya dalam pekeliling perkhidmatan awam, ada panduan bagaimanakah seseorang kakitangan boleh diambil tindakan.

Adakah Saravanan sekarang sudah menjadi polis, pendakwa dan hakim dengan menghukum doktor itu sebagai bersalah? Saravanan boleh menuduh, tetapi belum tentu tuduhannya itu betul.

Apa yang berlaku ini adalah satu resipi yang paling mujarab untuk membuatkan kakitangan perkhidmatan awam menolak Barisan Nasional pada PRU13 nanti kerana merasakan pemimpin politik tidak berlaku adil kepada mereka.

Najib harus memberikan amaran kepada Saravanan bahawa itu bukanlah cara yang betul untuk mendahulukan rakyat. Sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, bukan tugas Saravanan untuk "menangkap" doktor di Hospital Kuala Lumpur.

Pertama, Saravanan hanyalah orang biasa seperti saya dan anda apabila berada di Hospital Kuala Lumpur.

Kedua, tugas Saravanan ialah menjaga Wilayah Persekutuan. Eloklah kalau Saravanan "menangkap" Mat Rempit yang berlumba haram pada setiap malam minggu, "menangkap" pelacur yang bersepah di Bukit Bintang, "menangkap" pejalan kaki yang tidak menggunakan jejambat atau "menangkap" orang yang mengotorkan ibu kota.

Sepatutnya sebagai Timbalan Menteri, Saravanan memberikan fokus kepada menyediakan dasar dan blueprint bagi mewujudkan kesejahteraan ibukota melalui penyediaan perkhidmatan perbandaran (urban services) yang terbaik.

Itu cara yang betul untuk mendahulukan rakyat.Inilah beberapa kekeliruan yang sedang berlaku. Cabaran di bahu Najib sekarang ialah untuk beliau dan barisan kabinetnya memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang dilihat sebagai mendahulukan rakyat, dan mengutamakan prestasi.

Ia mungkin kecil, tetapi boleh dirasai oleh Mat, Ng dan Subra.Sekiranya tidak, orang seperti Saravanan akan terus berpolitik dengan "menangkap" pegawai kerajaan untuk menunjukkan beliau mendahulukan rakyat!

No comments:

Post a Comment