Tuesday, June 23, 2009

PARTI POLITIK - AKUI BAJET MINI PENUHI PERMINTAAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Beberapa parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mengakui Bajet Mini yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen semalam memenuhi permintaan yang telah disuarakan rakyat sebelum ini.

Pakej rangsangan berjumlah RM60 bilion itu juga dikatakan sebagai 'Bajet Penyelamat' kepada segenap lapisan masyarakat yang semakin resah dalam menangani krisis ekonomi global.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad menyifatkan 'bajet penyelamat' itu tertumpu kepada perkara teras dalam menyediakan peluang pekerjaan, meringankan beban rakyat, membantu sektor swasta dan membina keupayaan masa depan dengan soal pembangunan sumber manusia.

Sementara itu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam satu kenyataan berkata rancangan memberikan pelepasan cukai kepada pembeli rumah bagi faedah yang dibayar untuk pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama tiga tahun, adalah sama seperti cadangan parti itu yang diserahkan kepada Menteri Kewangan minggu lepas.

Naib Presiden parti Datuk Mah Siew Keong pula berkata cabaran sekarang adalah untuk kerajaan menunaikan janji dan memastikan bahawa tiada pembaziran dan ketirisan dalam proses pelaksanaan.

Mah berkata kerajaan mesti menghapuskan semua halangan dan bergerak dalam cara yang padu dan sistematik bagi memastikan semua inisiatif yang diumumkan dilaksanakan dengan segera.

Bendahari Gerakan Datuk Ng Chiang Chin berkata tindakan kerajaan untuk mengkaji semula polisi pekerja asing adalah tindakan yang tepat. "Bagaimanapun, pada masa yang sama, kerajaan kena ingat bahawa ramai rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor pembinaan di Singapura akan kembali ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata kejayaan pelaksanaan pakej rangsangan RM60 bilion itu memerlukan komitmen menyeluruh sektor awam untuk memberikan yang terbaik dan berusaha keras bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pakej rangsangan kedua itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perkembangan Minda (InMind) Norizan Sharif pula mengalu-alukan peruntukan RM29 bilion untuk sektor swasta yang pada pandangannya mampu menyelamatkan rakyat dari segi jaminan pekerjaan.

Katanya pelbagai lapisan masyarakat akan mendapat manfaat dengan lebih berkesan dengan adanya sistem penyampaian kerajaan yang lebih mantap."Apa yang pasti sekarang ialah untuk kerajaan menentukan bahawa rakyat dapat merasai kesan langsung daripada pakej ini," katanya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Datuk Wan Mahmood Pawan Teh turut menyifatkan pengumuman pakej berkenaan sebagai tepat pada masanya memandangkan negara kini berhadapan dengan krisis ekonomi global.

"Satu tindakan bijak, dalam keadaan kemelesetan, kerajaan menjana aktiviti yang dapat menghidup dan membangunkan semula ekonomi dan kami mengalu-alukan pemberian RM10 billion yang diasingkan bagi meringankan beban rakyat terutama mereka yang hidup di bawah paras kemiskinan," katanya.

No comments:

Post a Comment