Tuesday, June 2, 2009

MODIFIKASI KERANGKA SISTEM PELAJARAN MALAYSIA

1. Apakah rasionalnya cadangan Kementerian Pelajaran untuk menghadkan pengambilan subjek di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 subjek sahaja?

2. Apakah relevannya menggurangkan subjek teras dalam SPM kepada 4 subjek jika dibandingkan dengan 6 subjek sebelum ini?Seperti yang kita tahu, 6 subjek teras SPM ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Moral.

Pada pendapat penulis, selain daripada menimba ilmu, subjek-subjek teras juga merupakan permulaan kepada proses pembentukan seorang warganegara yang bertanggungjawab, bertoleransi dan erti asal-usul negara bermajmuk.Pelajaran seperti Sejarah amat penting untuk pelajar-pelajar, begitu juga Pendidikan Islam/Moral.

Subjek-subjek ini perlu tampak signifikan untuk di ajar dan bukan hanya sekadar lulus peperiksaan.Ianya mesti dapat diadaptasi dan diaplikasikan di dalam kehidupan seharian pelajar-pelajar tersebut.Realitinya, pengisian dan pemahaman yang tulin kepada content subjek itu adalah jauh lebih penting daripada terburu-buru menghabiskan topik-topik di dalam buku tersebut.

Malah, penekanan kepada beberapa topik penting yang sangat relevan kepada negara majmuk hari ini perlu dipertingkatkan agar mesejnya sampai ke sanubari warga muda negara ini.

Di sini penulis mensyorkan agar topik-topik di dalam subjek-subjek teras seperti Sejarah, Pendidikan Islam/Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris patut juga dikaji semula agar relevan dan lebih compact.

Adakalanya, terdapat topik-topik di dalam subjek tersebut yang tidak berapa signifikan ke atas perkembangan persepsi warga muda tersebut. Dalam masa sama, topik-topik yang signifikan untuk mereka sekadar bacaan sambil lalu dan ringan yang hanya untuk dihafal dan bukannya mendatangkan impak emosi kepada mereka.

Ayat mudah, mana-mana topik yang dikaji tidak ada atau kurang signifikan kepada pelajar-pelajar perlu digugurkan sahaja. Tidak apa jika topik-topik di dalam subjek itu dikurangkan asalkan topik-topik lain yang tidak digugurkan itu relevan dan berkesan.

Makanya, topik-topik yang penting seperti pemahaman evolusi negara dan bangsa perlu di tekan dan diperkembangkan dengan harapan agar pelajar-pelajar muda ini dapat menjiwai kerangka negara dengan lebih sempurna.

Realitinya, Kementerian Pelajaran masih mempunyai hak untuk membantu membentuk anak-anak didik mereka menjadi warganegara yang lebih toleran dan sensitif terhadap masyarakat berbilang kaum di negara ini.Jika mengurangkan subjek teras kepada 4 sahaja (kemungkinan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains), Kementerian Pelajaran seolah-olah telah terlepas satu peluang untuk membajai jiwa pelajar-pelajar muda ini agar lebih patriotik.

Subjek Sejarah dan Pendidikan Islam/Moral patut terus menjadi subjek wajib agar ianya dipelajari dan difahami oleh setiap pelajar Malaysia.

Ianya seperti 'satu paksaan' kerana jika subjek-subjek ini dijadikan subjek alternatif, mungkin ada pelajar-pelajar yang tidak akan mengambilnya.

Dan jika berlaku, seperti kata penulis tadi, Kementerian Pelajaran telah terlepas peluang untuk bertindak sebagai organisasi penting yang membentuk keluhuran jiwa dan emosi warga muda yang masih dibawah penjagaan kementerian.

Ayat mudah, tidak kepada pengurangan subjek teras.Seperkara lagi, struktur peperiksaan Kementerian Pelajaran patut fleksibel di dalam menerima pelbagai taraf IQ pelajar-pelajar.

Tidak ada salahnya jika ada pelajar-pelajar yang mahu mengambil lebih daripada 10 subjek semasa peperiksaan SPM.Ibubapa dan guru-guru yang terlibat di dalam proses pembelajaran tersebut pastinya sudah mengkaji dan menganalisa kapasiti pelajar tersebut sebelum menggalakkan pelajar itu mengambil lebih banyak subjek.

Dan penulis pasti ianya bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk menilai diri sendiri. Lagi pun, ianya satu usaha yang positif, maka apa salahnya.

Ayat mudah, tidak perlu hadkan pengambilan subjek untuk peperiksaan SPM tapi satu kaedah seperti kaunseling atau penilaian khas diperlukan untuk memastikan pelajar-pelajar tersebut benar-benar mampu.

No comments:

Post a Comment