Monday, August 10, 2009

KOMUNITI BISTARI BENTUK MASYARAKAT BERMAKLUMAT

KUANTAN - Semangat dan komitmen penduduk Mukim Beserah berjaya menubuhkan sebuah lagi Komuniti Bestari di daerah ini yang bertujuan untuk membentuk masyarakat bermaklumat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar berkata, penubuhan Komuniti Bestari itu adalah langkah kerajaan membentuk masyarakat bermaklumat, bersatu, patriotik dan cemerlang. Menurutnya, Komuniti Bestari juga berperanan dalam menyampaikan dasar kerajaan dan bertindak sebagai penggerak utama kepada program anjuran Jabatan Penerangan yang turut disokong agensi lain. “Penubuhan Komuniti Bestari menjadi platform untuk kukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat dan meningkatkan proses penyebaran maklumat.

“Selain itu, saya meminta supaya masyarakat sentiasa bersatu padu dan bekerjasama dalam menjaga keamanan, kesejahteraan dan keharmonian kampung, negeri dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Anjung Bestari dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Komuniti Bestari Mukim Baserah, di sini.

Hadir sama Pengarah Penerangan negeri, Datuk Hasnah Hassan; Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Mariam Ismail dan Penghulu Mukim Berserah, Muhammad Ngah. Menyentuh mengenai konsep 1Malaysia, Zaili berkata, konsep itu membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat menjalin perpaduan yang erat.

Menurutnya, perkara asas dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. “Selain itu, 1Malaysia juga wujudkan kerajaan penting pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti slogan Perdana Menteri iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya.

Sunday, August 9, 2009

PPU PAYA BESAR - laksanakan lima rukun kukuhkan parti

KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang memberi penekanan kepada lima perkara Rukun Pemuda bagi merealisasikan harapan dan kehendak pucuk pimpinan sekali gus menjayakan gagasan 1Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat berkata, penekanan kepada rukun Pemuda akan menjadikan pergerakan itu berada pada landasan betul dalam usaha memperkukuhkan parti sahsiah itu.

Menurutnya, elemen bersatu, relevan, inklusif, berprinsip dan proaktif yang diamalkan Pemuda UMNO akan berjaya mendekati golongan muda untuk terus memberikan sokongan kepada UMNO. “Lima rukun yang diamalkan Pemuda menjadi senjata utama untuk membawa perubahan kepada UMNO.

Semua ketua di semua peringkat akar umbi perlu menggunakan elemen ini untuk terus membawa UMNO ke arah lebih baik. “Ia akan ditekankan di semua peringkat. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan sokongan belia kepada UMNO sekali gus sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar Kali Ke15 di Felda Sungai Panching Selatan, di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Zulkafili Shamsuddin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Suhaimi Sulong.

Abu Jimi berkata, Pemuda seharusnya bersatu menghadapi sebarang kemungkinan seperti serangan retorik daripada pembangkang supaya parti itu tidak goyah walaupun ditekan hebat. Menurutnya, Pemuda seharusnya terus relevan untuk mendekati generasi muda dengan menyokong minat positif mereka seterusnya membantu golongan itu sekiranya berdepan masalah.

“Pemuda sentiasa menekankan perpaduan antara ahli Pemuda atau daripada parti komponen. UMNO juga tidak pernah melaksanakan perlembagaan tanpa persetujuan parti komponen. “Ia jelas menunjukkan tanda penyatuan antara semua dalam Barisan Nasional. Kita tidak hanya bermain dengan retorik sebaliknya membuktikan dengan perlakuan atau tindakan,” katanya.

Dalam masa sama, Abu Jimi yang juga Ketua Pemuda Bahagian Lipis turut menyentuh kelemahan sahsiah pemuda Melayu sehingga menyebabkan mereka dianggap mundur berbanding kaum lain. Katanya, kecenderungan kepada pertolongan semata-mata tanpa percaya kepada kebolehan diri sendiri menyebabkan kebanyakan orang Melayu tidak mampu bersaing.

“Golongan muda perlu bangkit untuk menjadi pemimpin mantap pada masa akan datang. Percaya kebolehan diri untuk melakukan sesuatu akan menjadi kita kuat tanpa perlu terus bergantung pada orang lain,” katanya.

AHLI PARLIMEN RAI MAJLIS PERKAHWINAN MANGSA KEMALANGAN

Pengantin berkerusi roda disambut meriah
KUANTAN – Sambutan meriah pasangan pengantin, Fauzi Mahazir, 28 dan Noriza Radzuan, 23 menggunakan kerusi roda disambut meriah tetamu yang hadir sempena majlis sambut menantu yang berlangsung di Kampung Megat Gelugor, Paya Bungor, di sini, semalam.

Pasangan yang diijabkabulkan 12 April lalu diarak menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta pada 26 Julai lalu.

: Walaupun keperitan terpaksa ditanggung Noriza kerana patah paha kiri, manakala Fauzi pula patah tangan kiri selain cedera ringan akibat kemalangan itu, perasaan gembira tidak dapat disembunyikan selepas disatukan dalam majlis meriah.

Perarakan unik pasangan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Shohaimi Jusoh yang tidak ketinggalan mengiringi pengantin sebelum menyempurnakan majlis makan beradab. Ketibaan pasangan pengantin tepat jam 1.15 petang disambut meriah ibu bapa pengantin lelaki, Isa Abu, 58 dan Salmiah Non, 50 selain turut mendapat perhatian penduduk setempat.

Isa berkata, keluarganya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa akibat kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Taman Seri Tualang, Mertakab kira-kira jam 8.30 malam.

“Anak dan menantu saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki motosikal selepas kereta Iswara milik mereka di curi di Cheras. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila mengalami kemalangan. “Saya bersyukur mereka selamat. Walaupun berat melihat mereka terpaksa berkerusi roda, namun ia ternyata akan memberi satu pengalaman pahit dan manis dalam meniti kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Salmiah menganggap perarakan unik majlis sambut menantu anaknya sebagai hadiah paling bermakna pada hari jadinya yang disambut kelmarin, walaupun menyedari kesakitan yang terpaksa dihadapi pasangan itu.

“Sambutan meriah daripada penduduk kampung dan tidak ketinggalan pemimpin setempat sebagai hadiah bermakna untuk hari jadi saya. Saya tidak menjangka perarakan unik anak saya menjadi perhatian ramai pihak. “Saya bersyukur mereka berdua selamat. Ternyata pertemuan, ajal dan maut hanya di tanganNya. Saya berdoa jodoh mereka berpanjangan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Thursday, July 9, 2009

PENDUDUK PERLU BERSATU DAN FAHAMI KONSEP 1 MALAYSIA

KUANTAN – Penduduk di sekitar Taman Tas, diminta memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan dalam usaha membanteras demam denggi di kawasan itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar berkata, kerjasama penduduk setempat amat diperlukan bagi memudahkan jabatan berkenaan menjalankan tugas.

Menurutnya, taman itu dikenal pasti sebagai antara lokasi mencatatkan kes demam denggi tertinggi daerah ini. “Saya berharap penduduk beri kerjasama kepada Jabatan Kesihatan bagi menjalankan tugas mereka membuat semburan asap untuk membunuh nyamuk Aedes. “Kita tidak mahu sikap tidak beri kerjasama akan memudaratkan kesihatan kita dan keluarga atau jiran lain.

“Jadi fahami konsep dan kesan semburan, bukan menyalahkan jabatan berkenaan dengan alasan semburan satu pencemaran udara,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Taman Tas, di sini. Kira-kira 1,000 penduduk hadir memeriahkan karnival yang diselitkan dengan pelbagai input berguna. Hadir sama Ketua Kampung Pandan Dua, Abdul Radzi Ahmad dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tas, Abdul Manaf Khalid Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zaili meminta masyarakat menyokong gagasan 1Malaysia bagi memastikan perpaduan antara semua kaum terus diperkukuhkan. Beliau berkata, perpaduan adalah asas penting apabila hidup dalam komuniti pelbagai kaum kerana ia menjadi platform penting bagi memastikan kemakmuran negara terus berkekalan.

“Perpaduan adalah asas penting untuk membina negara ke arah kemakmuran secara berkekalan. “Apabila hidup dalam komuniti yang membabitkan pelbagai kaum, kita harus peka akan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga perpaduan. “Kemakmuran terletak di tangan kita. Jika kita mahu ia berkekalan, harus kita berusaha menjaganya. 1Malaysia adalah sesuatu untuk menggambarkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya.

Tuesday, June 23, 2009

PEMIMPIN POLITIK PERLU DISIPLIN - Tun Dr.Mahathir Mohamad

Seseorang pemimpin politik perlu berdisiplin dan sanggup mengetepikan kepentingan peribadi dalam usahanya membina negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dalam hal berfikir, anda perlu cukup berdisiplin kerana fikiran berdisiplin berkemungkinan membawa hasil yang diharapkan".

Beliau menegaskan demikian dalam ucaptamanya berjudul "Asian Political Leadership: Disciplined Thinking For Change" di Persidangan Antarabangsa ke-14 mengenai Pemikiran (ICOT) 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini Selasa.

Sidang lima hari itu, yang bermula Isnin, dihadiri oleh kira-kira 500 peserta dari 42 negara termasuk Malaysia.Dr Mahathir juga berkata kebolehan Malaysia menghadapi krisis ekonomi pada 1997 adalah hasil dari proses pemikiran berdisiplin oleh kerajaan ketika itu.

Ia telah dapat menghasilkan satu kaedah bagi menyelamatkan negara dari krisis itu, tidak seperti mereka yang menerima penyelesaian alternatif yang ditawarkan oleh badan kewangan dunia, katanya.

Dr Mahathir berkata adalah baik "untuk meragui penyelesaian yang ditawarkan oleh pihak lain".Katanya, keputusan pemimpin politik juga memain peranan penting, terutama dalam menentukan sama negara maju atau mundur.

"Contoh baik dapat dilihat pada negara Jepun yang moden dan cukup maju selepas pemimpin-pemimpin politiknya memutuskan untuk mencontohi negara-negara Eropah. Begitu juga China, bagaimana di bawah Deng Xiao Ping negara itu telah bergerak ke arah permodenan.

"Kini, China sebuah negara pembuat terbesar di dunia dan mereka boleh menghasilkan hampir apa saja. Walaupun sesetengah pihak berkata produknya bermutu rendah, saya percaya ini boleh ditambah baik akhirnya," kata beliau.

Ia telah dapat menghasilkan satu kaedah bagi menyelamatkan negara dari krisis itu, tidak seperti mereka yang menerima penyelesaian alternatif yang ditawarkan oleh badan kewangan dunia, katanya.Dr Mahathir berkata adalah baik "untuk meragui penyelesaian yang ditawarkan oleh pihak lain".

Katanya, keputusan pemimpin politik juga memain peranan penting, terutama dalam menentukan sama negara maju atau mundur.Bagaimanapun, Dr Mahathir mengingatkan, bila seseorang memegang kuasa, adalah sukar untuk menyingkirkannya walaupun ia bukan seorang pemimpin yang baik dan telah membawa kemusnahan kepada negaranya.

"Di bawah sistem demokrasi, rakyat perlu menunggu sehingga pilihan raya seterusnya untuk menyingkir atau menukar pemimpin yang tidak baik, dan dalam pada itu rakyat akan menderita," katanya.

Dr Mahathir berpendapat kualiti kepimpinan yang diperlukan di negara-negara Asia adalah berbeza dengan di Eropah kerana perbezaan budaya."Di Eropah, idea mereka hampir serupa dan situasi yang wujud membolehkan mereka mencontohi satu sama lain, tetapi ini berbeza dengan negara-negara Asia di mana sistem nilai dan budaya mereka berbeza. Akibatnya, pembangunan di Asia tidak seimbang," katanya.

Kepada satu soalan daripada hadirin mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Inggeris, Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia perlu mempelajari bahasa ilmu supaya mendapat akses kepada penemuan-penemuan dan teori terbaru dalam Sains dan Teknologi yang menggunakan Inggeris sebagai bahasa utamanya.

"Walaupunpun kita belajar terbaik dengan bahasa ibunda kita, kita tidak boleh mengharapkan orang lain terus atau sentiasa membantu menterjemah maklumat atau penemuan dalam bahasa lain semata-mata untuk faedah kita," katanya.

NAJIB DEDAH USAHA BURUKKAN NEGARA MELALUI MEDIA BARU

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk memburukkan imej Malaysia di mata dunia menerusi media baru.

Namun, kata Perdana Menteri, cubaan itu boleh ditangkis sekiranya Malaysia dapat mempamerkan kejayaannya bagi membolehkan lebih ramai orang luar mengenali Malaysia dan mahu berurusan dengan negara ini.

"Saya lihat kebanyakan daripada mereka (orang luar), kalau sudah datang ke Malaysia, mereka tahu...baru mereka dapat memberi pengiktirafan yang lebih (terhadap Malaysia). Ini juga akan menambah tahap keyakinan mereka terhadap negara ini.

"Usaha memburukkan negara dilakukan melalui media baru dan juga mungkin ada pihak-pihak tertentu tapi saya yakin usaha yang kita lakukan dapat menonjolkan imej negara yang sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas memberi ucap utama pada persidangan ketua-ketua perwakilan Malaysia di luar negara di sini hari ini.

Ditanya mengenai persepsi terhadap Malaysia di arena antarabangsa, Najib berkata Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang moden dan progresif dan sebagai sebuah negara Islam yang menghormati agama-agama lain.

"Ia merupakan contoh yang amat baik dan telah diiktiraf oleh Presiden (Amerika Syarikat, Barack) Obama sendiri dalam ucapannya di Cairo baru-baru ini," katanya.Perdana Menteri berkata diplomat yang mewakili negara menghadapi banyak cabaran tetapi beliau yakin sekiranya mereka dapat melengkapkan diri dengan segala pengetahuan dan mendapat tingkatkan kemahiran mereka, mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik dan berkesan.

"Bila kita ada perjumpaan seperti ini kita dapat memberi mereka maklumat terkini dan juga menentukan apa dia keutamaan dan fokus yang patut diberikan oleh mereka," katanya.

1 MALAYSIA - menyerlah di sarawak

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Sarawak sebagai contoh amalan budaya hidup 'Perpaduan Melalui Kepelbagaian', sekaligus menjadi petanda konsep 1Malaysia diterima baik rakyat.

"Jika apa yang saya lihat sepanjang lawatan saya ke Sarawak baru-baru ini satu petanda bahawa konsep 1Malaysia itu bukan sahaja diterima dengan baik oleh Rakyat, malah ia adalah satu cara hidup.

"Rakyat Sarawak adalah contoh apa yang saya maksudkan dengan 'Perpaduan Melalui Kepelbagaian', seperti yang mereka sama-sama hormati budaya dan perayaan kumpulan etnik mereka yang pelbagai," katanya dalam posting terbaru melalui blognya http://www.1malaysia.com.my/.

Beliau yang menceritakan lawatannya ke Sarawak baru-baru ini umpama sebuah catatan perjalanan, juga menyifatkannya kunjungan ke Kota Kenyalang itu sungguh berhasil.

"Saya merenung kembali perpaduan yang ditunjukkan yang saya lihat pada dua hari yang lalu. Malah sebelum saya menjelaskan nilai-nilai dan unsur-unsur 1Malaysia, ianya telah lama diamalkan oleh rakyat Sarawak, sama ada mereka yang tinggal di pekan dan bandar yang telah maju atau di rumah-rumah panjang tradisional dan kampung-kampung tinggalan nenek moyang mereka.

"Pada masa yang sama, saya memikirkan akan pentingnya memastikan kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri berganding bahu meneruskan usaha untuk membangunkan semua daerah di Sarawak untuk mencapai matlamat dan cita-cita, seperti yang dibincangkan dengan Ketua Menteri Sarawak," katanya.

Beliau turut menyuarakan rasa terkilan atas kesuntukan waktu untuk bertemu dengan anggota Dewan Undangan Negeri; tetapi berjanji tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan perbincangan bersama Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud.Najib berkata 1Malaysia adalah dan akan terus menjadi satu proses dinamik pembangunan negara.

Najib juga berkata, beliau akan membuat beberapa pengumuman liberalisasi pada akhir Jun ini, dan selanjutnya, akan ada lagi pengumuman pada hari ke-100 saya menjadi Perdana Menteri, khusus untuk rakyat dan menggambarkan konsep "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Saya berharap anda semua akan terus menyokong konsep ini melalui penyertaan anda dalam laman web saya melalui interaksi anda dengan rakyat Malaysia yang lain dan sesiapa juga, dan melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni dan prinsip-prinsipnya dalam kehidupan seharian anda," katanya.