Sunday, August 9, 2009

AHLI PARLIMEN RAI MAJLIS PERKAHWINAN MANGSA KEMALANGAN

Pengantin berkerusi roda disambut meriah
KUANTAN – Sambutan meriah pasangan pengantin, Fauzi Mahazir, 28 dan Noriza Radzuan, 23 menggunakan kerusi roda disambut meriah tetamu yang hadir sempena majlis sambut menantu yang berlangsung di Kampung Megat Gelugor, Paya Bungor, di sini, semalam.

Pasangan yang diijabkabulkan 12 April lalu diarak menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta pada 26 Julai lalu.

: Walaupun keperitan terpaksa ditanggung Noriza kerana patah paha kiri, manakala Fauzi pula patah tangan kiri selain cedera ringan akibat kemalangan itu, perasaan gembira tidak dapat disembunyikan selepas disatukan dalam majlis meriah.

Perarakan unik pasangan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Shohaimi Jusoh yang tidak ketinggalan mengiringi pengantin sebelum menyempurnakan majlis makan beradab. Ketibaan pasangan pengantin tepat jam 1.15 petang disambut meriah ibu bapa pengantin lelaki, Isa Abu, 58 dan Salmiah Non, 50 selain turut mendapat perhatian penduduk setempat.

Isa berkata, keluarganya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa akibat kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Taman Seri Tualang, Mertakab kira-kira jam 8.30 malam.

“Anak dan menantu saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki motosikal selepas kereta Iswara milik mereka di curi di Cheras. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila mengalami kemalangan. “Saya bersyukur mereka selamat. Walaupun berat melihat mereka terpaksa berkerusi roda, namun ia ternyata akan memberi satu pengalaman pahit dan manis dalam meniti kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Salmiah menganggap perarakan unik majlis sambut menantu anaknya sebagai hadiah paling bermakna pada hari jadinya yang disambut kelmarin, walaupun menyedari kesakitan yang terpaksa dihadapi pasangan itu.

“Sambutan meriah daripada penduduk kampung dan tidak ketinggalan pemimpin setempat sebagai hadiah bermakna untuk hari jadi saya. Saya tidak menjangka perarakan unik anak saya menjadi perhatian ramai pihak. “Saya bersyukur mereka berdua selamat. Ternyata pertemuan, ajal dan maut hanya di tanganNya. Saya berdoa jodoh mereka berpanjangan hingga ke akhir hayat,” katanya.

No comments:

Post a Comment