Thursday, July 9, 2009

PENDUDUK PERLU BERSATU DAN FAHAMI KONSEP 1 MALAYSIA

KUANTAN – Penduduk di sekitar Taman Tas, diminta memberi kerjasama kepada Jabatan Kesihatan dalam usaha membanteras demam denggi di kawasan itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar berkata, kerjasama penduduk setempat amat diperlukan bagi memudahkan jabatan berkenaan menjalankan tugas.

Menurutnya, taman itu dikenal pasti sebagai antara lokasi mencatatkan kes demam denggi tertinggi daerah ini. “Saya berharap penduduk beri kerjasama kepada Jabatan Kesihatan bagi menjalankan tugas mereka membuat semburan asap untuk membunuh nyamuk Aedes. “Kita tidak mahu sikap tidak beri kerjasama akan memudaratkan kesihatan kita dan keluarga atau jiran lain.

“Jadi fahami konsep dan kesan semburan, bukan menyalahkan jabatan berkenaan dengan alasan semburan satu pencemaran udara,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Taman Tas, di sini. Kira-kira 1,000 penduduk hadir memeriahkan karnival yang diselitkan dengan pelbagai input berguna. Hadir sama Ketua Kampung Pandan Dua, Abdul Radzi Ahmad dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tas, Abdul Manaf Khalid Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zaili meminta masyarakat menyokong gagasan 1Malaysia bagi memastikan perpaduan antara semua kaum terus diperkukuhkan. Beliau berkata, perpaduan adalah asas penting apabila hidup dalam komuniti pelbagai kaum kerana ia menjadi platform penting bagi memastikan kemakmuran negara terus berkekalan.

“Perpaduan adalah asas penting untuk membina negara ke arah kemakmuran secara berkekalan. “Apabila hidup dalam komuniti yang membabitkan pelbagai kaum, kita harus peka akan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga perpaduan. “Kemakmuran terletak di tangan kita. Jika kita mahu ia berkekalan, harus kita berusaha menjaganya. 1Malaysia adalah sesuatu untuk menggambarkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment