Sunday, August 9, 2009

PPU PAYA BESAR - laksanakan lima rukun kukuhkan parti

KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang memberi penekanan kepada lima perkara Rukun Pemuda bagi merealisasikan harapan dan kehendak pucuk pimpinan sekali gus menjayakan gagasan 1Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat berkata, penekanan kepada rukun Pemuda akan menjadikan pergerakan itu berada pada landasan betul dalam usaha memperkukuhkan parti sahsiah itu.

Menurutnya, elemen bersatu, relevan, inklusif, berprinsip dan proaktif yang diamalkan Pemuda UMNO akan berjaya mendekati golongan muda untuk terus memberikan sokongan kepada UMNO. “Lima rukun yang diamalkan Pemuda menjadi senjata utama untuk membawa perubahan kepada UMNO.

Semua ketua di semua peringkat akar umbi perlu menggunakan elemen ini untuk terus membawa UMNO ke arah lebih baik. “Ia akan ditekankan di semua peringkat. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan sokongan belia kepada UMNO sekali gus sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar Kali Ke15 di Felda Sungai Panching Selatan, di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Zulkafili Shamsuddin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Suhaimi Sulong.

Abu Jimi berkata, Pemuda seharusnya bersatu menghadapi sebarang kemungkinan seperti serangan retorik daripada pembangkang supaya parti itu tidak goyah walaupun ditekan hebat. Menurutnya, Pemuda seharusnya terus relevan untuk mendekati generasi muda dengan menyokong minat positif mereka seterusnya membantu golongan itu sekiranya berdepan masalah.

“Pemuda sentiasa menekankan perpaduan antara ahli Pemuda atau daripada parti komponen. UMNO juga tidak pernah melaksanakan perlembagaan tanpa persetujuan parti komponen. “Ia jelas menunjukkan tanda penyatuan antara semua dalam Barisan Nasional. Kita tidak hanya bermain dengan retorik sebaliknya membuktikan dengan perlakuan atau tindakan,” katanya.

Dalam masa sama, Abu Jimi yang juga Ketua Pemuda Bahagian Lipis turut menyentuh kelemahan sahsiah pemuda Melayu sehingga menyebabkan mereka dianggap mundur berbanding kaum lain. Katanya, kecenderungan kepada pertolongan semata-mata tanpa percaya kepada kebolehan diri sendiri menyebabkan kebanyakan orang Melayu tidak mampu bersaing.

“Golongan muda perlu bangkit untuk menjadi pemimpin mantap pada masa akan datang. Percaya kebolehan diri untuk melakukan sesuatu akan menjadi kita kuat tanpa perlu terus bergantung pada orang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment