Monday, August 10, 2009

KOMUNITI BISTARI BENTUK MASYARAKAT BERMAKLUMAT

KUANTAN - Semangat dan komitmen penduduk Mukim Beserah berjaya menubuhkan sebuah lagi Komuniti Bestari di daerah ini yang bertujuan untuk membentuk masyarakat bermaklumat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar berkata, penubuhan Komuniti Bestari itu adalah langkah kerajaan membentuk masyarakat bermaklumat, bersatu, patriotik dan cemerlang. Menurutnya, Komuniti Bestari juga berperanan dalam menyampaikan dasar kerajaan dan bertindak sebagai penggerak utama kepada program anjuran Jabatan Penerangan yang turut disokong agensi lain. “Penubuhan Komuniti Bestari menjadi platform untuk kukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat dan meningkatkan proses penyebaran maklumat.

“Selain itu, saya meminta supaya masyarakat sentiasa bersatu padu dan bekerjasama dalam menjaga keamanan, kesejahteraan dan keharmonian kampung, negeri dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Anjung Bestari dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Komuniti Bestari Mukim Baserah, di sini.

Hadir sama Pengarah Penerangan negeri, Datuk Hasnah Hassan; Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Mariam Ismail dan Penghulu Mukim Berserah, Muhammad Ngah. Menyentuh mengenai konsep 1Malaysia, Zaili berkata, konsep itu membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat menjalin perpaduan yang erat.

Menurutnya, perkara asas dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. “Selain itu, 1Malaysia juga wujudkan kerajaan penting pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti slogan Perdana Menteri iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," katanya.

Sunday, August 9, 2009

PPU PAYA BESAR - laksanakan lima rukun kukuhkan parti

KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang memberi penekanan kepada lima perkara Rukun Pemuda bagi merealisasikan harapan dan kehendak pucuk pimpinan sekali gus menjayakan gagasan 1Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat berkata, penekanan kepada rukun Pemuda akan menjadikan pergerakan itu berada pada landasan betul dalam usaha memperkukuhkan parti sahsiah itu.

Menurutnya, elemen bersatu, relevan, inklusif, berprinsip dan proaktif yang diamalkan Pemuda UMNO akan berjaya mendekati golongan muda untuk terus memberikan sokongan kepada UMNO. “Lima rukun yang diamalkan Pemuda menjadi senjata utama untuk membawa perubahan kepada UMNO.

Semua ketua di semua peringkat akar umbi perlu menggunakan elemen ini untuk terus membawa UMNO ke arah lebih baik. “Ia akan ditekankan di semua peringkat. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan sokongan belia kepada UMNO sekali gus sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar Kali Ke15 di Felda Sungai Panching Selatan, di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Zulkafili Shamsuddin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Suhaimi Sulong.

Abu Jimi berkata, Pemuda seharusnya bersatu menghadapi sebarang kemungkinan seperti serangan retorik daripada pembangkang supaya parti itu tidak goyah walaupun ditekan hebat. Menurutnya, Pemuda seharusnya terus relevan untuk mendekati generasi muda dengan menyokong minat positif mereka seterusnya membantu golongan itu sekiranya berdepan masalah.

“Pemuda sentiasa menekankan perpaduan antara ahli Pemuda atau daripada parti komponen. UMNO juga tidak pernah melaksanakan perlembagaan tanpa persetujuan parti komponen. “Ia jelas menunjukkan tanda penyatuan antara semua dalam Barisan Nasional. Kita tidak hanya bermain dengan retorik sebaliknya membuktikan dengan perlakuan atau tindakan,” katanya.

Dalam masa sama, Abu Jimi yang juga Ketua Pemuda Bahagian Lipis turut menyentuh kelemahan sahsiah pemuda Melayu sehingga menyebabkan mereka dianggap mundur berbanding kaum lain. Katanya, kecenderungan kepada pertolongan semata-mata tanpa percaya kepada kebolehan diri sendiri menyebabkan kebanyakan orang Melayu tidak mampu bersaing.

“Golongan muda perlu bangkit untuk menjadi pemimpin mantap pada masa akan datang. Percaya kebolehan diri untuk melakukan sesuatu akan menjadi kita kuat tanpa perlu terus bergantung pada orang lain,” katanya.

AHLI PARLIMEN RAI MAJLIS PERKAHWINAN MANGSA KEMALANGAN

Pengantin berkerusi roda disambut meriah
KUANTAN – Sambutan meriah pasangan pengantin, Fauzi Mahazir, 28 dan Noriza Radzuan, 23 menggunakan kerusi roda disambut meriah tetamu yang hadir sempena majlis sambut menantu yang berlangsung di Kampung Megat Gelugor, Paya Bungor, di sini, semalam.

Pasangan yang diijabkabulkan 12 April lalu diarak menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta pada 26 Julai lalu.

: Walaupun keperitan terpaksa ditanggung Noriza kerana patah paha kiri, manakala Fauzi pula patah tangan kiri selain cedera ringan akibat kemalangan itu, perasaan gembira tidak dapat disembunyikan selepas disatukan dalam majlis meriah.

Perarakan unik pasangan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Shohaimi Jusoh yang tidak ketinggalan mengiringi pengantin sebelum menyempurnakan majlis makan beradab. Ketibaan pasangan pengantin tepat jam 1.15 petang disambut meriah ibu bapa pengantin lelaki, Isa Abu, 58 dan Salmiah Non, 50 selain turut mendapat perhatian penduduk setempat.

Isa berkata, keluarganya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa akibat kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Taman Seri Tualang, Mertakab kira-kira jam 8.30 malam.

“Anak dan menantu saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki motosikal selepas kereta Iswara milik mereka di curi di Cheras. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila mengalami kemalangan. “Saya bersyukur mereka selamat. Walaupun berat melihat mereka terpaksa berkerusi roda, namun ia ternyata akan memberi satu pengalaman pahit dan manis dalam meniti kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Salmiah menganggap perarakan unik majlis sambut menantu anaknya sebagai hadiah paling bermakna pada hari jadinya yang disambut kelmarin, walaupun menyedari kesakitan yang terpaksa dihadapi pasangan itu.

“Sambutan meriah daripada penduduk kampung dan tidak ketinggalan pemimpin setempat sebagai hadiah bermakna untuk hari jadi saya. Saya tidak menjangka perarakan unik anak saya menjadi perhatian ramai pihak. “Saya bersyukur mereka berdua selamat. Ternyata pertemuan, ajal dan maut hanya di tanganNya. Saya berdoa jodoh mereka berpanjangan hingga ke akhir hayat,” katanya.